Restoran Mamak vs Melayu

Masyarakat kita mempunyai pandangan tersendiri mengenai kedai makan mamak dan kedai melayu. Sebut sahaja tentang kedai mamak, ramai yang menunjukkan mimik muka yang 'menggelikan' , khususnya kaum perempuan.

Berbeza pula dengan lelaki, yang biasanya lebih gemar memilih kedai mamak berbanding restoran-restoran Melayu. Namun, ada juga golongan perempuan yang gemar ke kedai mamak, dan ada juga lelaki yang tidak suka ke kedai mamak.

Bila bercerita tentang kedai makan, sama ada kedai mamak atau kedai melayu, ramai yang menyentuh soal kebersihan. Ramai yang lebih meragui kebersihan di kedai mamak, berbanding kedai melayu.

Sedangkan, soal kebersihan ini bukan terletak kepada kedai mamak atau melayu. Ia terletak pada sesiapa sahaja yang mementingkan kebersihan. Ada kedai mamak yang bersih, malah bertaraf hotel 'first class', dan ada juga kedai melayu yang 'hampeh'.

Soalnya di sini, saya tidak mahu bercerita tentang kebersihan, tetapi lebih kepada 'service' kedua-dua pemilik kedai makan tersebut. Saya sendiri bukan lah penggemar kedai mamak, namun selalu juga mengikuti suami yang gemar 'mengeteh' di kedai mamak.

Satu malam, di sebuah kedai Melayu, pelayan restoran mengambil masa hampir setengah jam untuk mengambil pesanan kami. Tidak cukup dengan itu, hampir lena anak lelaki saya yang berusia 3 tahun menunggu makanan.

Seusai menghabiskan hidangan, kami terpaksa menunggu pengusaha kedai mencari wang kecil untuk memulangkan baki.

Aduhai...sudahlah mengambil order lambat, terima makanan lambat, timbul pula masalah wang kecil, yang begitu jarang-jarang berlaku di kedai mamak!

Saya perhati pula di kedai mamak. Jika kepada pelayan A kita order, pelayan yang sama juga menghantar pesanan kita. Jadi jarang berlaku kesilapan apa yang diminta. Malah, jika sudah selalu di kedai itu, mereka sudah tahu apa yang kita inginkan.

Teringat saya kata-kata seorang penceramah ketika menghadiri kursus perkahwinan empat tahun lalu..."Kadang- kadang isteri yang bertahun-tahun berkahwin masih bertanya suami, air apa yang dikehendaki. Sedangkan mamak di kedai, nampak kelibat pelanggan tetapnya, sudah tahu apa yang dicari!"

Adakalanya, bila melihat situasi seperti itu, kita akan sedar mengapa kedai-kedai mamak ini boleh 'hidup' lama, berbanding kedai-kedai melayu. Bukan tidak mahu menolong Melayu, tetapi...bagaimana ya?

Comments